Thursday 8 September 2011

INSTITUT ILMU HADIS, DARUS-SUNNAH JANDA BAIK, PAHANG

Institut Ilmu Hadis, Darus-Sunnah Janda Baik, Pahang

SEJARAH PENUBUHAN DARUS-SUNNAH JANDA BAIK

Pada mulanya Tuan Hj. Arifin Mohamad dan isterinya (penaja), berhajat untuk membina sebuah sekolah tahfiz al Quran di tanah milik mereka di Janda Baik, Pahang. Idea ini telah dicetuskan oleh kenalan mereka ustaz Saiful Khan Mohd Johardin.  Bagaimanapun, setelah mendengar pandangan Professor Madya Dr. Fauzi Deraman, Penasihat Darus-Sunnah, bahawa pengajian Hadis di Malaysia ini sangat kurang berbanding pengajian al Quran maka hajat asal tadi ditukar kepada pembangunan sebuah sekolah pengajian Hadis.

Atas nasihat Dr. Fauzi, Tuan Hj. Arifin dan isterinya dengan ditemani oleh beberapa rakan diantaranya Y.Bhg Dato’ Shamsudin Haironi serta Ustaz Anzaruddin  Ahmad, telah pergi melawat sebuah pesantren terkenal di Indonesia, Pesantren Luhur Ilmu Hadis, Darus-Sunnah Ciputat, Jakarta.  Tujuan lawatan adalah untuk mengkaji konsep dan model pengajian ilmu Hadis di Pesantren ini untuk digunakan sebagai panduan pembentukan model pengajian di Darus-Sunnah, Janda Baik.

Bapak Professor K H Ali Mustafa Yakup selaku Pengasuh Darus-Sunnah, Ciputat, Jakarta telah menyambut baik rombongan dari Malaysia ini.  Beliau telah berkongsi pengalaman tentang Pesantren ini dan juga berjanji untuk membantu pembangunan Pengajian Hadis  di  Janda Baik.  Janji ini akhirnya dibuktikan dengan penghantaran seorang siswazah Darus-Sunnah sebagai salah seorang tenaga pengajar bagi Darus-Sunnah  Janda Baik pada Desember 2010.

Selanjutnya  beberapa perbincangan telah turut diadakan dengan Dr. Fauzi Deraman dan Dr. Faisal Ahmad Shah dari Universiti Malaya serta Dr. Abdul Rahman Chik, Dr.Mohd Shuhaimi bin Ishak, dan Dr. Miszairi Satiri dari Universiti  Islam Antarabangsa mengenai perkara yang sama.  Kesemua mereka ini telah memberikan sokongan padu  serta khidmat nasihat terhadap cadangan untuk membangunkan Institut Pengajian Hadis ini.

Pada Ogos 2010 sebuah bangunan sekolah termasuk asrama untuk pelajar telah siap dibina di atas tanah berkenaan di Janda Baik.  Sekolah ini dilengkapi dengan sebuah perpustakaan dan rumah tenaga pengajar.  

MISI

Misi Darus-Sunnah Janda Baik, ialah untuk mengajar ilmu agama Islam yang memfokuskan kepada  Hadis Nabi dan Ilmu Hadis kepada pelajar-pelajarnya bagi tujuan berikut :

i)                    Mengkomplemen ilmu Al Quran sebagai sumber syariat yang utama,
ii)                   Meningkatkan pengetahuan masyarakat tentang ilmu Hadis dan Hadis-Hadis Nabi  sebagai sumber syariat kedua.
Adalah diharapkan siswazah Darus-Sunnah ini nanti akan membentuk jaringan para ilmuan Hadis yang akan menyebarkan dan melestarikan penggunaan Hadis selepas Al Quran, sebagai petunjuk dan rujukan dalam kehidupan masyarakat Islam demi  kehidupan Muslim sejati.

PROGRAM YANG TELAH  DAN AKAN DIJALANKAN

i)                    Pengajian Hadis pada hujung minggu iaitu pada hari Sabtu dan Ahad telah dimulakan dari Januari 2011 hingga Jun 2011.  Pengajian ini dihadiri oleh 2 hingga 5 orang mahasiswa universiti.
ii)                   Pengajian Hadis  40 selama 42 hari dari 1 Jun hingga 23.Julai 2011.  Program ini telah dihadiri oleh 9 hingga 11 orang mahasiswa universiti tempatan.
iii)                 Pengajian Hadis pada hujung minggu selama 8 semester atau  4 tahun akan bermula dari Oktober 2011 insyaAllah.

KURIKULUM PENGAJIAN HADIS  LAPAN SEMESTER

HADIS
ILMU HADIS
LAIN-LAIN
Shahih al-Bukhari
Shahih Muslim
Sunan Abi Dawud
Sunan al-Tirmidzi
Sunan al-Nasai
Sunan Ibnu Majah
Taysir Mushthalah al-Hadits
Tadrib al-Rawi
Ushul al-Takhrij wa dirasat al-Asanid
Bahasa Arab
Fiqih
Aqidah
Ulum al-Quran

Keterangan:
1.       Untuk Hadis (al-Kutub al-Sittah) sepanjang tempoh pengajian.
2.       Untuk Ilmu Hadis disesuaikan dengan tahun pelajaran
a.       Tahun 1 - mempelajari kitab Taysir
b.      Tahun 2 -  mempelajari kitab Ushul al-Takhrij
c.       Tahun 3 -  praktik takhrij (dasar)
d.      Tahun 4 -  praktik takhrij (lanjutan)

3.       Untuk Lain-lain, mengenai kitab pegangan bersifat FLEKSIBEL, disesuaikan dengan kemampuan dan keperluan pelajar dan hal-hal lain yang berkaitan.

TENAGA PENGAJAR
Pada masa ini Darus-Sunnah Janda Baik mempunyai seorang guru sepenuh masa lulusan Darus-Sunnah, Ciputat, Jakarta iaitu Ustaz Samsul Bahri.  InsyaAllah  beliau akan dibantu oleh seorang lagi tenaga pengajar lulusan Darus-Sunnah Jakarta dan pakar hadis tempatan Dr. Faisal Ahmad Shah dari Universiti Malaya serta beberapa orang pensyarah yang lain dari masa ke masa.

KEMUDAHAN
Darus-Sunnah menyediakan asrama berasingan bagi pelajar lelaki dan perempuan yang boleh memuatkan hingga 20 orang pelajar, sebuah perpustakaan serta bilik kuliah.  Kemudahan wifi yang disediakan oleh Al Sakinah Eco Resort juga boleh digunakan oleh pelajar-pelajar Darus-Sunnah.

KOMITMEN PENAJA
Semua perbelanjaan untuk menguruskan Darus-Sunnah akan ditanggung oleh penaja dan rakan-rakan ( Sahabat-Sahabat Darus-Sunnah).  Ini bermakna tiada bayaran akan dikenakan kepada pelajar kecuali mereka perlu membeli kitab-kitab yang akan digunakan semasa pengajian.  Perbelanjaan ini juga adalah termasuk menyediakan pengangkutan dari universiti tempat pelajar mengikuti pengajian ke Darus-Sunnah Janda Baik.   

JAWATANKUASA PENGELOLA
Darus-Sunnah Janda Baik akan dikelola oleh sebuah jawatankuasa yang dianggotai oleh :
1.       Professor Madya Dr. Fauzi bin Deraman                               PENASIHAT
2.       Tuan Hj Arifin bin Mohamad                                                      Pengerusi
3.       Dato’ Rusma binti Ibrahim                                                          Timbalan Pengerusi
4.       Dr.Effendi bin Mohd Tenang                                                       Bendahari
5.       Dato’ Shamsudin bin Haironi                                                       Ahli
6.       Dr. Faisal bin Ahmad Shah                                                             
7.       Dr. Miszairi bin Satiri                                                                     
8.       En.Abdul Rahim bin  Hasan                                                            
9.       Puan Munjiah binti Shaari                                                               
10.   Puan Noraini binti Sudin                                                                
11.   En. Syammim Noori bin Arifin                                                   Setiausaha
12.   Puan Farah Syuhada binti Arifin                                                Penolong Setiausaha 
             


RI/6.8.11